Jangan Sesekali Tekan 'Proceed' Kononnya LHDN Nak 'Refund Tax'

#1



Sejak beberapa hari lalu tersebar di media sosial tentang kegiatan pihak tidak bertanggungjawab menghantar emel menggunakan nama dan logo Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menipu orang ramai.

Ada individu mendakwa ada mangsa telah mengalami kerugi wang belasan ribu ringgit selepas menekan butang ''Proceed'' yang meminta mangsa mendedahkan nombor akaun mereka untuk dipulangkan cukai terlebih bayar kononnya daripada pihak LHDN.




Pihak LHDN dalam satu kenyataan menafikan mereka ada mengeluarkan sebarang emel seperti yang tersebar dan mengesahkan terdapat sindiket telah menggunakan nama dan logo agensi mereka untuk menipu orang ramai terutamanya pembayar cukai.

LHDN dalam satu kenyataan media di laman web mereka menyatakan sindiket yang turut dikenali sebagai penyangak kewangan itu telah dikesan melakukan beberapa cubaan menipu dengan menghantar emel kepada orang ramai kononnya mereka mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dibayar semula oleh pihak LHDN.

Mereka akan menerima emel, untuk menerima 'refund' berkenaan, pembayar cukai perlu menekan butang ''proceed' dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat oleh LHDN.

"Harap maklum bahawa LHDN tidak pernah menghantar e-mel kepada pembayar cukai untuk meminta pembayar cukai mendedahkan nombor akaun bank mereka. Ini kerana maklumat akaun bank tersebut akan diperoleh melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.

"Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat yang betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDN ke akaun bank pembayar cukai menerusi pembayaran secara Electronic Fund Transfer (EFT) atau menerusi Baucar Bayaran Balik Cukai (BBC) atau Cek Berpalang atau Telegraphic Transfer (untuk mereka yang mempunyai akaun di luar negara)," menurut kenyataan itu.





Selain itu, modus operandi mereka lakukan adalah menghantar Surat Tuntutan Cukai Tertunggak yang palsu kepada orang ramai yang sememangnya akan dikeluarkan oleh LHDN sebagai surat peringatan kepada pembaayr cukai yang mempunyai tunggakan agak menjelaskannya.

"Sebelum arahan yang diterima melalui e-mel tersebut dituruti, orang ramai adalah dinasihatkan agar membuat semakan terlebih dahulu ketulenan e-mel berkenaan yang boleh dibuat melalui domain e-mel yang digunakan oleh pengirim e-mel yang tertera pada e-mel tersebut.

"Setiap e-mel rasmi daripada LHDN akan menggunakan domain e-mel @hasil.gov.my. Orang ramai dilarang untuk mematuhi arahan dalam e-mel yang mengguna pakai domain selain daripada domain rasmi,'' jelas mereka.



Untuk mendapat pengesahan surat tunggakan cukai orang ramai boleh terus menghubungi talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 atau Talian Hasil Recovery Call Centre di 1-800-88-4726 atau nombor talian Cawangan LHDN yang mengeluarkan surat tersebut (ada pada kepala surat). - Siakapkeli.my